Cara-cara Membiakkan Ikan Laga

LANGKAH PERTAMA: Kenalpasti Jantina

Cara nak kenalpasti ikan laga jantan dan ikan betina senang je. Biasernya ikan jantan ekor die panjang, warna lebih terang, dan lebih agresif. Tapi sekarang ni para penternak dah hasilkan betina yang ekor panjang dan warna yang terang. Jadi untuk kenal pasti ikan laga betina ialah melalui abdomen dan juga biji putih di bahagian anusnya. Tengok gambar kat bawah tu..nampak tak biji putih kat perut tu.

LANGKAH KEDUA : Pilih Induk Yang Matang

Untuk membiakkan ikan laga, anda mesti memastikan induk yang akan dibiakkan adalah matang. Ikan laga biasenya dah matang bila mencapai umur 4 bulan sekiranya diberi makanan yang secukupnya. Tapi anda boleh memerhatikan ikan laga tersebut.

Jantan
Induk jantan yang matang dan bersedia untuk membiak akan membuat buih di permukaan..tuh maknenya dia tengah ‘hot’ arr tuh.

Betina
Bagi yang betina pula, anda perlu perhatikan perut atau abdomennya. Induk ikan laga betina yang bersedia untuk dibiakkan mempunyai perut yang buncit dan terdapat biji putih di bahagian anusnya.

LANGKAH KETIGA: Sediakan Tangki Yang Sesuai

Bagi kaedah pembiakan, anda perlu menyediakan tangki yang selesa sekurang-kurangnya bersaiz 1 kaki x 1 kaki x 1 kaki. Anda boleh menggunakan macam-macam contohnya akuarium, baldi, dan sebagainya. Lagi besar lagi bagus kerana tangki yang besar boleh meningkatkan peluang anak-anak ikan untuk hidup. Masukkan air lebih kurang 4,5 inci dari dasar. Jangan letak air terlalu dalam, nanti payah induk-induk tu nak kutip telur. Dalam tangki tu kalau boleh letak la sikit perlindungan untuk induk betina macam kayu atau pokok kiambang. Mana tahukan kot-kot yang jantan ganas. Senangla induk betina nak menyorok bila kena kejar. Satu petua nak kongsi dengan anda semua, anda boleh meletakkan daun ketapang kering atau nama saintifiknya almond leaf ke dalam tangki tu..daun ketapang ni macam tongkat ali atau booster la untuk ikan ni..air akan jadi berasid dan sesuai untuk pembiakan..die lagi gersang..dan cepat membiak. Untuk meransang pembentukan buih oleh jantan, sebaiknya letak la polistrene atau kiambang untuk mengekalkan buih tuh sebab ikan akan suka buat buih di bawahnya.

Ni la daun ketapang, tapi jangan letak yang masih hijau lak. Letak yang dah kering.

LANGKAH KEEMPAT: Masukkan Induk Jantan Dahulu Dalam Tangki

Sebaiknya anda letak induk jantan dulu dalam tangki pembiakan. Induk betina ni anda masukkan dalam bekas kaca atau apa-apa bekas lutsinar (biar yang jantan boleh nampak). Lepas tu masukkan dalam tangki yang ada induk jantan tadi. Ikan ni tak boleh dilepaskan sekali dalam tangki kerana yela..nama pun ikan laga..nanti ikan tu akan berlaga. Kalau betina kalah takpe, tapi kalau induk jantan yang kalah maknanya anda kena cari calon suami lain la untuk dia. Jadi macam ni la caranya untuk mengelakkan dari ikan-ikan ni berlaga. Kena kenal-kenalkan diorg dulu.

LANGKAH KEEMPAT: Masukkan Induk Betina Selepas Induk Jantan Buat Buih

Sekiranya anda nampak induk jantan telah buat buih. Maknanya dia telah bersedia untuk mengawan. Buih tu sebenarnya adalah sarang. Selepas jantan buat buih masukkan la induk betina. Induk jantan dan betina nie sebaiknya dicampurkan atau dikahwinkan di awal pagi. Mula-mula anda lepaskan induk betina, induk jantan akan mengejar induk betina. Tapi jangan risau, sang jantan tu dah lama sangat mengidam kat induk betina tu. Biasanya menjelang tengahari ikan nie akan melakukan ritual peneluran..ikan jantan akan menari dengan mengibaskan ekornya, membelit betina dan mengutip telur dan memasukkannya ke dalam buih..’projek’ nie akan berlaku dari setengah jam hinga sejam..selepas ‘projek’ tu dah selesai, eloklah anda alih yg betina dan tinggalkan yang jantan sahaja..sebab jantan akan jaga telur dan anak-anak ikan nanti. Induk betina pula akan makan telur atau anak, tapi tak semua la induk betina akan makan telur atau anak. Jadi untuk selamat, lagi mudah anda asingkan je.

Telur tu akan menetas dalam masa 24jam hingga 36jam bergantung pada suhu semasa..sebaiknya letak di atas kayu atau rak..jangan letak atas simen..sejuk..mati ikan nanti. Selepas sehari anak ikan menetas, anda boleh samaada nak asingkan induk jantan atau tidak. Kalau anda tengok induk jantan ni makan anak, anda kena asingkan cepat-cepat. Tapi kalau tak makan, tak perlu asing la sebab induk jantan ni akan jaga dan pastikan tangki anda tidak dipenuhi jentik-jentik. Jentik-jentik ni boleh makan anak-anak ikan.

Ini la ritual bertelur

LANGKAH KELIMA: Penjagaan anak

Anak2 ikan laga perlu diberi makan selepas 3 hari mereka menetas, seeloknya rotifer disamping air hijau sebagai supplemen..kebaikan air hijau ni die akan melindungi badan anak ikan dari penembusan cahaya matahari yang boleh merosakkan mata dan organ anak ikan tersebut. Air hijau nie sebenarnya mengandungi phytoplankton bernama chorella secara majoritinya, tapi ada gak banyak species lain yg ada. Ia boleh didapati dari air ternakan ikan tilapia, ikan keli.

Selepas seminggu cuba ar dapatkan moina atau artemia untuk peringkat pemakanan seterusnya..ikan laga nie akan makan apa sahaja yang muat dengan mulutnye..satu lagi tips ikan laga nie akan lagi cantik dan cepat membesar jika diberi makanan hidup seperti jentik-jentik ataupun frozen blood worm.

Jenis – jenis Ikan Laga

CROWNTAILS

DELTAS / SUPER DELTAS

DOUBLE TAILS

HALFMOON

HALFMOON PLAKATS

VIELTAILS / LONG TAILS

WILD TYPES / IMBELLIS

Ikan Laga / Sepilai : Nostalgia

Kalau bercerita pasal ikan laga ni..teringat zaman mase budak-budak dulu..balik je dari tabika bukannya balik ke rumah terus, tapi tuju ke baruh (paya) untuk cari ikan sepilai. Zaki yang juga sepupu aku adalah teman setia aku dalam melakukan projek penangkapan ikan sepilai ni..heheh. Kat kampung aku dulu memang banyak ikan sepilai. Ada dua jenis, ikan sepilai dan ikan sepilai karim (hahah..mane dpt nama pun aku tak tahu). Yang aku minat adalah dari jenis sepilai kerana warnanya lebih terang dan mempunyai pelbagai warna. Ada hijau, biru & hitam. Sisiknya pula berkilat dan yang lebih penting lagi, lebih agresif dan kuat. Memang tujuan kitorang tangkap ikan laga dulu adalah untuk dibuat berlaga tapi takdela sampai mati. Hanya untuk suka-suka dan jauh sekali untuk bertaruh. Yela..time tu budak-budak lagi. Ikan ni memang kuat, kadang-kadang berlaga sampai 15 minit pun masing-masing taknak mengalah. Jenuh jugak menunggu.

Ikan Sepilai Karim pula tidak secantik ikan sepilai. Warnanya lebih pudar dan kurang agresif berbanding ikan sepilai. Kalau berlaga pun memang tak lama. Jadi aku memang jarang la tangkap dan bela ikan sepilai karim. Kalau aku bela pun biasanya takkan lama. Ikan ni cepat mati.

Ikan sepilai ni biasenya menjadikan paya cetek yang paras-paras atas buku lali yang mempunyai banyak rumput sebagai habitat. Keadaan ini adalah untuk mengelakkan dari pemangsa dari bawah dan atas. Dari bawah adalah ikan haruan dan dari atas adalah burung raja udang.

Antara tanda-tanda sahih lokasi ikan sepilai adalah wujudnya buih-buih kecil setompok di celah-celah rumput atau daun kering. Satu tabiat ikan ni ialah membuat buih2 dengan mulutnya. Kita akan lihat jika kita ada bela ikan sepilai dalam botoi atau dalam akuarium. Berdasarkan cerita orang, warna buih lagi karat, lagi lawa ikannya. Betul atau tidak aku pun tak pasti. Tapi kalau ikut lojik, buih karat tu sebenarnya buih lama. Bila buih lama, dah tentu ikan pun dah tua dan matang. Ikan yang dah matang sudah tentu lebih lawa berbanding ikan muda.

Biasanya, jika ada buih tu paling kurang boleh dapat seekor, kalau tak 2 atau 3 ekor sekaligus bawah buih tu. Mesti dapat ikan jantan yang gelap, lawa dan bukan dari spesis karim. Buih tu sebenarnya, ikan jantan yang buat. Bila ikan betina bertelur, ikan jantan akan tolak telur masuk dalam kelongsong buih tu. Kalau ada yang jatuh, dia akan tolak balik kasi masuk. Yang menjadikan ikan jantan dari kawasan buih tu lawa2 pasal dia tengah kawal kawasan itu.

Kalau nampak kelibat ikan tu, kena cepat sauk dengan tangan. Macam cara nak ambik air sembahyang nak basuh muka tu la. Kalau yang belum pro, pakai la penapis plastik kat rumah masing2. Masa tu, nak guna mana berani minta izin pinjam kat mak masing2. Jadi kena “curi-curi pinjam”. Tapi lepas pakai kena basuh betul2 sampai bersih la. Kalau tak alamatnya kena sengkeh la.

Biasanya kena bawa alatan penting perburuan, termasuk botol kaca atau plastik bertangkai. Botol kaca elok yang jernih, macam botol cuka. Bila dapat ikan, buh dalam tu, sekali dengan air paritlah. Maka terserlahlah segala aksi renang ikan sepilai yang memusin-musin kelilin botoi, penuh bergaya.

Ikan sepilai ni spesis ikan laga (fighting fish). Satu botol satu ikan. Kalau buh 2-3 ekor dalam satu botoi, alamat ada yang rabit ekor atau sirip. Ada yang terkeluar sisik. Paling malang, ada yang cedera atau mati.

Tentang makanan ikan sepilai, ni macam-macam boleh. Aku dulu biase bagi jentik-jentik. Bagi nyamuk, cacing kecil, semut, telur kerengga, biskut yang dilumatkan pun boleh.

Satu keunikan ikan sepilai ni ialah dia jenis anabantoids, bermaksud depa boleh bernafas melalui organ unik dipanggil labyrinth. Sebab tu depa dapat survive dalam kawasan berair yang kurang oksigen yang boleh membunuh lain-lain jenis ikan; macam bendang sawah, parit yang airnya kurang mengalir dan juga lopak londang.

Ikan Laga Janjikan Pulangan Lumayan

MEMANG agak pelik apabila mengetahui ada golongan wanita yang begitu berminat dengan ikan hiasanapatah lagi ikan itu pula adalah dari spesies BettaSplenden atau lebih dikenali sebagai ikan laga. Namun bagi Mariyati Abdullah, 54, dunia ikan hiasan bukan hak mutlak lelaki semata-mata malah beliau membuktikan lebih jauh lagi apabila menukarkan minatnya itu kepada sebuah perniagaan yang menguntungkan.

Membuka cerita ketika berkunjung ke kediamannya yang turut dijadikan kawasan penternakan ikan laga, Mariyati berkata, segala-galanya bermula daripada hobinya yang gemar membela ikan laga di rumah seperti kebanyakan orang. Hobinya itu juga telah mendorong beliau membeli lima pasang ikan laga dari Thailand yang kemudiannya membuka jalan kepadanya untuk menceburi dunia perniagaan dengan lebih serius. Baka-baka ikan yang dibeli ketika itu terdiri daripada varieti halfmoon, crown tail, short tail, double tail dan fighting fish selain spesies ikan laga liar. Tanpa diduga ikan laga yang dibelinya itu membiak dengan pantas dalam masa yang cukup singkat memaksanya membina kawasan penternakan yang berasingan dan lebih besar di sebelah rumahnya.

Melihat kepada sambutan orang ramai serta menerusi bantuan seorang rakan yang sanggup menjadi pengedar, Mariyati kemudiannya tekad menukar hobinya itu kepada cabang perniagaan dan mengusahakan penternakannya bersungguh-sungguh sehingga pernah mencapai 10,000 ekor dalam satu-satu masa. “Menariknya mengenai penternakan ikan laga ialah, ia sentiasa mendapat sambutan di kalangan orang ramai selain tidak ramai pengusaha yang benar-benar mengusahakannya untuk tujuan pasaran,’’ ujarnya.

Namun beliau mengakui, penjagaan ikan laga ini agak rumit dan cerewet terutamanya dari segi penjagaan air dan makanan yang merupakan dua aspek penting dalam memastikan peratus hidup anak-anak ikan laga tinggi. Air misalnya perlu digantikan dua hari sekali manakala makanan pula perlu diberikan sebanyak dua kali sehari. Selain dipastikan kandungan air yang tidak terlalu banyak, ia juga perlu bebas daripada klorin sama ada menggunakan teknologi penapis atau ubat anti klorin yang boleh didapati di pasaran. Sekiranya menggunakan air paip biasa pula, ia perlu dibiarkan terlebih dahulu sekurang-kurangnya selama 2 hingga 3 hari sebelum boleh digunakan.

Makanan pula diberikan pada sebelah pagi dan petang sama ada cacing merah atau jentik-jentik dan beliau sendiri turut menghasilkan cacing merah sendiri menggunakan kaedah yang dipelajari dari seorang rakan. “Cacing merah ini juga boleh didapati di mana-mana kedai ikan hiasan dalam bentuk tablet dan perlu dibasahkan dahulu sebelum diberikan kepada ikan laga. “Bagaimanapun, saya tidak menggalakkan ikan laga diberi makan pallet kerana ia boleh menjejaskan kualiti air,’’ katanya. Ikan laga tambah Mariyati, mampu membesar sehingga lima inci dengan jangka hayat hidup selama kira-kira dua tahun.

Ikan laga jantan lebih cantik dan lebih besar daripada betina dan kebiasaannya proses mengawan akan berlaku sebaik ikan laga mencapai umur kira-kira tiga bulan. Untuk tujuan mengawan, ikan laga jantan dan betina akan diletakkan di dalam bekas yang sama selama kira-kira dua hingga tiga hari dan proses mengawan dipastikan berlaku apabila ikan laga betina menjauhkan diri dari ikan laga jantan. Ketika ini, ikan laga betina akan diasingkan dan ikan laga jantan akan dibiarkan menjaga telur-telur ikan tersebut di dalam buihnya sehingga menetas iaitu kira-kira beberapa hari kemudiannya. Sebaik menetas anak-anak ikan itu yang berjumlah beratus-ratus ekor akan diasingkan bagi mengelakkan ia di makan oleh ikan jantan dewasa dan diletakkan di dalam bekas yang lebih besar.

Menurut Mariyati, ikan laga mendapat sambutan yang menggalakkan ekoran kecantikan dan keunikan warna serta corak yang terlukis pada sayapnya dan harganya semakin tinggi sekiranya kedua-dua faktor tersebut semakin terserlah. Sayap ikan laga itu juga semakin menghampiri bentuk separuh bulan iaitu seperti kipas yang sangat cantik pada usia dua setengah bulan sehingga empat bulan iaitu tempoh yang paling cantik dan ditunggu oleh peminatnya.

Berdasarkan pengalamannya, beliau pernah menjual seekor ikan laga pada harga RM250 iaitu gred terbaik manakala ikan laga pada harga pertengahan pula mencecah sehingga RM100 hingga RM200. Bagaimanapun, pasaran ikan laga yang dikeluarkan oleh Mariyati lebih menjurus kepada peringkat penggemar biasa iaitu pada harga kira-kira RM30 dan ke bawah. Ketika ini juga, jualan ikan laganya dalam seekor mencecah sehingga 3,000 hingga 4,000 ekor dan dijual secara kontrak dengan pengedar untuk di pasarkan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Malah, kawasan penternakannya juga tidak pernah sunyi dikunjungi oleh penggemar ikan laga yang datang dari setiap pelosok negeri untuk memilih sendiri ikan laga yang dihajati.

Selain menjalankan projek penternakan ikan laga sendiri, Mariyati turut mengambil upah membela ikan-ikan laga daripada individu lain seperti ikan laga liar yang baru sahaja diambil semula oleh tuan punya. Upah yang diperoleh daripada membela ikan laga ini juga tidak kurang lumayannya dan pernah mencecah sehingga RM600 hanya untuk tempoh beberapa bulan.

Sebagai perancangan masa depan, Mariyati bercadang untuk mendapatkan sebidang tanah dengan kerjasama Jabatan Perikanan bagi meluaskan lagi projek penternakan ikan hiasannya. “Sekiranya tiada halangan, kawasan baru itu nanti akan dibina berkonsepkan pameran dalam taman yang mana selain datang membeli ikan laga, pengunjung juga dapat melihat dengan lebih dekat kecantikan dan keunikan ikan laga ini,’’ katanya. Malah, beliau juga yakin cita-citanya itu mampu dicapai apatah lagi dengan bantuan daripada Jabatan Perikanan dari segi penyediaan infrastruktur serta galakan yang diberikan supaya projeknya mampu dijadikan contoh dan rujukan kepada penternak baru.

Sumber: http://harizamrry.com

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.