Saman ekor bebankan rakyat, syarikat: Khairy Jamaluddin

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa agar pelaksanaan saman ekor yang hanya membebankan pemilik kenderaan termasuk pengusaha bas serta teksi segera dihapuskan.

Khairy berkata, tindakan yang dilaksanakan kerajaan ini bukan hanya membebankan pengguna kenderaan persendirian, malah pengusaha syarikat teksi dan bas turut menghadapi risiko ‘gulung tikar’ jika sesebuah syarikat itu disenaraihitamkan daripada memperbaharui cukai jalan.

“Kita mahu desak supaya saman ekor dihapuskan sama sekali kerana bertentangan dengan keadilan rakyat. Ia umpama menghukum pemilik kenderaan sebelum didapati bersalah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha bas dan teksi di Pejabat Pemuda Umno di sini hari ini.

Berikutan pendiriannya itu, Khairy sekaligus menolak cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mencadangkan agar pengguna yang dikenakan saman ekor diberi diskaun.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, alasan untuk mendidik disiplin pengguna jalan raya yang diberikan kerajaan itu tidak relevan dan didapati hanya menambahkan lagi beban pengguna.

Sistem tidak telus

“Sistem ini tidak telus. Saman ekor mengikut Seksyen 170 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dilaksanakan ini tidak adil. Jika mahu disiplinkan pengguna penguatkuasaan saman ‘on the spot’ mengikut Seksyen 257 sahaja sudah mencukupi,” katanya.

Beliau juga berkata melalui pertemuan dengan pengusaha terbabit, satu kata sepakat dicapai agar saman ekor dimansuhkan kerana implikasi buruk termasuk permit dan cukai jalan tidak akan diperbaharui jika mereka gagal menjelaskannya.

“Majoriti kes syarikat tersebut bukannya salah syarikat itu, tapi pemandunya. Tiga hingga empat bulan notis saman baru sampai. Berbeza dengan syarikat bas ekspres, pengusaha bas sekolah dan teksi terutamanya tiada perincian rekod, jadi mereka tak tahu pun siapa yang pandu.

“Ini sangat tidak adil kerana mereka bukan sahaja menghadapi saman ekor dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, malah dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga yang ada mengenakan kompaun mencecah sehingga RM1,000.

“Kita juga berharap agar kerajaan ambil keputusan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera terutamanya musim perayaan yang hampir tiba.

Ditanya jika pendirian Khairy terhadap isu saman ekor ini akan mendorong beliau menyertai Perhimpunan Anti Saman Ekor yang diketuai Ahli Parlimen-PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, beliau menolak cadangan tersebut.

“Tak perlu. Pakatan Rakyat boleh buat apa yang mereka mahu. Mencukupi jika hasrat pengusaha bas dan teksi ini dibawa untuk pertimbangan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengusaha Bas Melayu Semenanjung (PEMBAWA) Tajuddin Yunus berkata, kesalahan yang dikenakan kepada pengusaha ini tidak adil kerana mampu menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka.

“Tak adil jika kami terpaksa menanggung bebannya kerana kesalahan yang dilakukan pemandu diketahui hanya selepas tiga bulan apabila surat saman sampai.

“Nak kesan pemandu yang bertanggungjawab semasa waktu kejadian pun susah. Mungkin ada yang sudah lari atau berhenti dalam tempoh tersebut. Jadi dengan kekalutan sebegini sudah tentu tidak ada sesiapa pun yang mahu bertanggungjawab,” katanya.

%d bloggers like this: