Buang Bayi Boleh dihukum Mati

Salam semua..korang juga mungkin telah mendengar berita malam tadi tentang individu yang membuang bayi boleh dikenakan tindakan hukuman gantung sampai mati. Langkah ini dibuat berikutan kes buang bayi di negara kita semakin meningkat dan membimbangkan. Individu yang disyaki bersalah perlu menjalani ujian DNA. Dengan adanya undang-undang ini, aku rasa kes buang bayi di negara kita dapat dikurangkan.

Berikut merupakan berita yang dipetik daripada Kosmo Online.

KUALA LUMPUR – Polis diarah menjalankan siasatan terhadap kes buang bayi sebagai percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat boleh ditakrifkan sebagai kes bunuh yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, arahan terbaru itu diputuskan selepas isu mengenai kes buang bayi dibangkitkan oleh kementeriannya pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian pembuangan bayi masih berleluasa walaupun pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani masalah itu.

“Sehubungan itu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diminta untuk menyiasat kes-kes ini sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat, sebagai kes bunuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bagi kesalahan membunuh dengan niat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori manakala di bawah Seksyen 307 kanun sama iaitu cubaan membunuh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

%d bloggers like this: