Bung Mokhtar terlepas hukuman penjara kerana poligami

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin hari ini berjaya mengetepikan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya pada Mei lepas bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini menerima rayuannya. Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhuddin Ibrahim bagaimanapun memerintahkan ahli politik dari Sabah itu membayar denda RM1,000, dan jika gagal berbuat demikian, akan dikenakan penjara enam bulan.

Pada 19 Mei lalu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhi hukuman penjara sebulan terhadap Bung Moktar, 51, kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan pelakon Izette A. Samad, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam 16 Disember tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

%d bloggers like this: