Ramadan Bukan Bulan Melayan Nafsu Atau Berbelanja Mewah

KUALA LUMPUR: Ramadan bagai tetamu yang sering dinanti-nantikan, bulan untuk umat Islam meningkatkan ketaqwaan kepada Yang Maha Esa, datang lagi.

Di bulan yang mulia ini juga umat Islam diharap dapat menginsafi kesusahan hidup yang terpaksa ditanggung mereka yang kurang bernasib termasuk dari segi kecukupan makanan serta minuman.

Justeru bersikap sederhana dalam soal makan dan minum amat dianjurkan pada bulan ini dan hendaknya diamalkan di bulan-bulan seterusnya.

Langkah yang bijak ini juga sudah tentunya dapat mengurangkan kos perbelanjaan di tengah-tengah kenaikan harga bahan bakar serta barangan keperluan lain dewasa ini.

JADI ‘KOMODITI’

Di sebalik kesucian Ramadan, tidak kurang juga pihak yang mengambil kesempatan dengan menjadikan bulan ini sebagai ‘komoditi’ perdagangan untuk tujuan meraih sebanyak mungkin keuntungan.

Pelbagai taktik licik digunakan untuk menjerat sudah tentunya pengguna beragama Islam. Bagi mereka yang terus dibelenggu hawa nafsu, maka tersungkur tewas dengan berbelanja sakan daripada yang sepatutnya. Tidak cukup wang tunai, ‘wang plastik’ yakni kad kredit dilayang untuk membayar pembelian!

Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memberitahu Bernama bahawa sudah menjadi lumrah bagi sesetengah pihak mengambil kesempatan apabila tiba bulan Ramadan.

IKUT NAFSU

Setiap kali datang Ramadan, setiap kali jugalah umat Islam diperingatkan betapa mereka perlu mengawal nafsu dan ianya bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Cuma amanat dan peringatan ini tidak melekat di hati sesetengah orang lantas kos perbelanjaan bagi mereka ini di bulan Ramadan lebih banyak daripada kebiasaannya.

Perhatikan sahaja mereka yang berbondong-bondong membanjiri gedung beli-belah atau bazar Ramadan yang tumbuh bagaikan cendawan setiap kali menjelang Ramadan.

Ada yang sudah membeli-belah sehingga berhelai-helai pakaian serta barang lain di samping menukar langsir dan perabot rumah. Malah ada yang pasti berkunjung ke kedai menjual kereta untuk mendapatkan kereta baru untuk bergaya balik kampung.

Ketika berkunjung ke bazar menjual juadah berbuka puasa pula, ada yang nafsu makan seakan membuak-buak dan bila pulang ke rumah, berbungkus jenis juadah dijinjing yang akhirnya menjadi habuan bakul sampah!

“Walaupun sebenarnya bulan Ramadan ingin mendidik umat Islam untuk bersikap sederhana dalam segala bentuk amalan seperti makanan, namun tabiat berbelanja secara berlebihan ini nampaknya masih sukar dikikis,” demikian komen Mohd Yusof.

MURAH ATAU SEBALIKNYA

Jika kita perhatikan di premis beli-belah, sebelum kedatangan bulan Ramadan lagi kebanyakan premis sudah mula membuat pelbagai gimik jualan.

Bulan ini seakan bulan pesta menjual dan membeli-belah. Pelbagai slogan digunakan untuk menarik perhatian pengguna dengan pelbagai potongan harga dan diskaun serta hadiah ditawarkan.

“Peniaga mengadakan pelbagai jualan murah dan ‘jualan mega’ kerana sikap suka berbelanja pengguna. Pelbagai taktik digunakan untuk menarik perhatian pengguna supaya membeli barang jualan mereka.

“Berdasarkan Akta Perihal Dagangan 1972, iaitu di bawah Peraturan Perihal Dagangan (Jualan Murah) 1997, pusat beli-belah dikehendaki memaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui notis untuk mengadakan jualan murah.

“Setiap tahun, sebanyak lima jualan murah yang dibenarkan bagi pusat beli-belah, iaitu tiga kali mengikut tarikh dan jangka masa yang ditetapkan oleh Pengawal Perihal Dagangan dan dua kali ditentukan oleh pusat beli-belah itu sendiri,” jelasnya.

Menurut Mohd Yusof, semasa jualan murah juga, 70 peratus daripada keseluruhan barang yang dijual di pusat beli belah hendaklah diberikan potongan harga.

“Biarpun begitu, banyak aduan yang diterima daripada pengguna tentang pusat beli-belah yang melakukan penyelewengan semasa jualan murah, antaranya harga yang sama sebelum dan semasa jualan murah.

“Peniaga menaikkan harga semasa jualan murah dan memberikan diskaun tertentu yang akhirnya didapati harga barang selepas diskaun ialah sama sebelum jualan murah diadakan,” tambahnya.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Fomca itu berkata ada juga pusat beli-belah yang menukar kualiti barang yang menunjukkan apabila diberikan diskaun harga barang adalah rendah.

“Sebenarnya harga rendah tetapi kualiti barang juga rendah. Disebabkan oleh pelbagai unsur penipuan yang berlaku semasa jualan murah, maka KPDNKK akan meminda Akta Perihal Dagangan bagi mengetatkan peraturan jualan murah.

“Dalam pindaan yang baru ini, peniaga yang ingin mengadakan jualan murah diwajib menyenaraikan harga lama dan bagi barang yang ingin diadakan jualan murah, sebelum lesen jualan murah dikeluarkan,” katanya.

BUFET RAMADAN DAN ISU HALAL

Lazimnya juga bila datang bulan Ramadan, hotel dan restoran bagaikan berlumba-lumba menawarkan bufet Ramadan dengan senarai menu makanan yang berjela-jela panjangnya.

Ada promosi berbuka puasa menawarkan 99 jenis makanan, ada juga yang mengiklankan 100 hingga 200 juadah makanan!

Harga bufet pula berbeza-beza mengikut premis di mana bufet itu diadakan. Ada yang serendah RM50 hingga melebihi RM100 seorang dewasa dan untuk kanak-kanak pula sekitar serendah RM25 hingga RM50 seorang.

Realitinya berbuka puasa di hotel umpamanya menjadi satu trend hari ini. Banyak syarikat korporat mengadakan majlis berbuka puasa di hotel termasuk menjemput mereka yang kurang bernasib baik, antaranya anak-anak yatim.

Isu yang sering dikaitkan dengan berbuka puasa di hotel, di samping bayaran yang mahal ialah status halal juadah yang dihidangkan khasnya di rangkaian hotel-hotel yang tidak begitu dikenali.

Nisbah hotel di negara ini yang memiliki Sijil Halal Malaysia dilaporkan terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel yang ada.

Untuk itu, amat wajar sekali untuk umat Islam lebih berhati-hati sekiranya mahu berbuka puasa di mana-mana premis termasuk hotel sepanjang Ramadan.

PESAN FOMCA

Mohd Yusof berkata pengguna Islam perlu menjadikan bulan Ramadan sebagai masa untuk berjimat-cermat dalam setiap segi perbelanjaan dan mengamalkan gaya hidup lestari.

“Wang yang dapat dijimatkan itu digunakan sebagai perbelanjaan musim perayaan seperti menampung kos minyak kenderaan untuk balik kampung, membeli pakaian dan sebagainya.

“Jika boleh, sediakan dana dari awal tahun lagi untuk menyambut perayaan pada dengan menetapkan jumlah wang yang diperlukan.

Menurut beliau, cara demikian akan memastikan pengguna tidak terbeban dengan jumlah wang yang banyak diperlukan untuk perbelanjaan musim perayaan.

Ramai pengguna yang menggunakan pendapatan bulanan mereka untuk berbelanja ketika musim perayaan yang menyebabkan mereka tidak dapat menampung perbelanjaan pada bulan itu.

“Akhirnya mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar hutang semasa, seperti hutang kad kredit, ansuran kereta, rumah dan sebagainya.

“Malah ramai juga yang terpaksa berhutang untuk perbelanjaan hari raya.

“Oleh itu amalan menyimpan wang untuk kegunaan musim perayaan perlu dijadikan satu kebiasaan agar tidak mengalami masalah kewangan,” katanya. – BERNAMA


Sumber

%d bloggers like this: