‘Jutawan Lubnan’ Kena Penjara 77 Bulan

Sepandai-pandai tupai melompat..akhirnya jatuh ke tanah jua..pepatah itu sesuai untuk menggambarkan kes seorang warga Lubnan yang pernah mendakwa dirinya jutawan yang akhirnya tertangkap. Elie Youssef Najem, 50, dihukum penjara tiga tahun bagi dua tuduhan menipu dan lima bulan bagi tuduhan menyalahguna pas lawatan selepas Majistret Mohd Azali Ibrahim mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah terhadap kes terbabit.

Ikuti berita yang dipetik daripada Kosmo! Online.

‘Jutawan Lebanon’ kena hukum

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my

ELIE dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – ‘Jutawan Lebanon’, Elie Youssef Najem dijatuhi hukuman penjara enam tahun lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam bagi dua tuduhan menipu dan satu tuduhan menyalahgunakan pas lawatan lima tahun lalu.

Majistret Mohd. Azali Ibrahim membuat keputusan tersebut setelah pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah terhadap ketiga-tiga kes tersebut.

Bagaimanapun, Mohd. Azali membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan setelah pihak pembelaan yang diwakili peguam S. Selvam memohon untuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mohd. Azali menetapkan Elie diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin warga tempatan sebelum menunggu proses rayuan.

Majistret juga mengarahkan pasport milik Elie diserahkan kepada mahkamah.

Bagi kesalahan pertama dan kedua, Elie dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga tahun dan lima bulan penjara bagi kesalahan ketiga.

Semua hukuman penjara itu diarahkan berjalan secara berturut-turut mulai dari semalam.

Sebelum itu, Selvam merayu agar hukuman yang akan dikenakan terhadap Elie diringankan atas alasan faktor kesihatan tertuduh yang mempunyai penyakit diabetes.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran membantah dengan memberitahu alasan yang diberikan oleh Selvam tidak kukuh.

Sepanjang perbicaraan seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil manakala saksi pembelaan hanya diwakili oleh Elie.

Selesai prosiding, Elie yang tidak dapat menerima hakikat dijatuhi hukuman penjara bertindak memaki-hamun Nor Aizam Aiza sehingga terpaksa ditenteramkan oleh polis mahkamah, Selvam dan pengawal peribadinya.

Elie yang dilihat menitiskan air mata kemudian bertanya kepada peguamnya, “Selvam, speak to me, how long must I wait before I go out.” (Selvam, cakap dengan aku, berapa lama aku mesti tunggu sebelum aku dilepaskan).

Sehingga petang semalam Elie gagal membayar wang jaminan RM40,000 sementara menunggu rayuannya dibuat menyebabkan dia dibawa ke penjara.

%d bloggers like this: