Peneroka FELDA Dapat Duit Raya

Najib umum pemberian RM150, RM350 seorang sambut 1 Syawal

KUALA LUMPUR: Seramai 112,635 peneroka FELDA di 317 tanah rancangan di seluruh negara akan menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria tahun ini berikutan keputusan kerajaan memberikan mereka duit raya berjumlah RM37.14 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pemberian wang raya itu antara RM150 dan RM350 seorang kepada semua peneroka yang akan diberikan sebelum perayaan Hari Raya bulan depan.

Beliau berkata, kadar bayaran duit raya itu terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama FELDA dan bukan bersama FELDA. “Bagi peneroka bersama FELDA, mereka akan menerima RM350 seorang manakala peneroka yang tidak bersama FELDA, akan menerima duit raya RM150 seorang.

“Mengikut rekod, peneroka yang masih setia bersama FELDA adalah seramai 101,391 orang (90.02 peratus) manakala seramai 11,244 atau 9.98 peratus peneroka, dikategorikan sebagai tidak bersama FELDA iaitu mereka yang tidak menanam semula menerusi agensi itu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini semalam. Pemberian duit raya itu membabitkan bayaran berjumlah RM37.14 juta dengan RM35.47 juta diberi kepada peneroka yang bersama FELDA dan RM1.67 juta bagi yang tidak bersama FELDA.

“Saya berharap pemberian duit raya ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan bebanan kewangan keluarga peneroka dalam membuat persiapan menjelang ketibaan Syawal. “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada peneroka yang tidak bersama FELDA agar kembali bersama agensi ini untuk memaju dan memakmurkan lagi tanah rancangan,” katanya.

Sumber

%d bloggers like this: