Hukum Pertandingan Ayam Serama

Dalam keseronokan dan kegembiraan kita menyertai pertandingan ayam serama, ada beberapa persoalan yang kita perlu teliti iaitu hadiah kepada pemenang diambil dari sumber mana? Wang penyertaan atau sumbangan/tajaan dari individu atau agensi? Ini kerana sumber hadiah menentukan halal haram pertandingan tersebut.

Hadiah pertandingan hasil kutipan yuran penyertaan hukumnya adalah haram kerana ia menyerupai pertaruhan. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian. Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM50, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu penganjur membeli hadiah untuk diberikan kepada pemenang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: “Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman”. (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).

Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya). Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.

Walaubagaimanapun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak. Hadiah kepada pemenang yang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.

Oleh itu, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:

1. Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).

2. Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya: “Kalau ayam kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Tapi kalau kamu kalah, tidak perlu beri apa-apa hadiah kepadaku.” Maksudnya dia menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan.

Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:

1. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.

2. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi dan sebagainya.

3. Tidak melalaikan dari kewajipan syarak seperti solat dan sebagainya.

4. Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.

%d bloggers like this: