Paul: Sotong peramal Piala Dunia mati

FRANKFURT – Seekor sotong kurita, Paul di Jerman yang menyebabkan para peminat bola sepak di seluruh dunia terpegun kerana ketepatannya meramalkan beberapa keputusan bola sepak Piala Dunia 2010 mati semasa berumur dua setengah tahun semalam.

Menurut seorang jurucakap akuarium Sea Life yang menempatkan haiwan tersebut, Ariane Vieregge, sotong yang pernah meramalkan Sepanyol sebagai juara Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan itu mati di dalam akuariumnya di bandar Oberhausen, barat Jerman pada waktu pagi.

Sotong itu kelihatan baik apabila diperiksa lewat kelmarin.

Namun, kata jurucakap itu, Paul gagal untuk meneruskan hidup dan ia mati akibat semula jadi.

“Kami semua mula menyayanginya dan akan merasai kehilangannya,” kata pengurus akuarium itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan.

Setakat ini, pihak pengurusan Sea Life masih belum memutuskan cara untuk memperingati penghuni yang paling terkenal dalam akuarium berkenaan.

Sotong itu pernah mendapat ancaman bunuh kerana ia meramalkan Argentina kalah kepada Jerman pada pusingan kedua kejohanan Piala Dunia 2010.

“Kami mungkin memutuskan untuk menyediakan kubur kecil buat Paul dalam pekarangan akuarium kami dan mendirikan satu ‘makam’ sederhana yang kekal,” kata pengurus tersebut.

Sotong itu menjadi selebriti semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung pada Jun dan Julai lalu di Afrika Selatan.

Paul bersara daripada membuat ramalan selepas perlawanan menentukan juara Piala Dunia antara skuad bola sepak Sepanyol dengan Belanda.

Selepas perlawanan itu berakhir, sotong itu kembali dengan peranan asal dengan membuatkan kanak-kanak gembira apabila melihat gelagatnya di dalam akuarium.

Paul mendapat perhatian ramai apabila ia berjaya meramalkan dengan tepat tujuh perlawanan melibatkan skuad bola sepak Jerman dalam kejohanan Piala Dunia itu.

Sotong itu memulakan ramalannya dengan membuka penutup salah satu daripada dua kotak plastik yang mengandungi kupang dan bendera skuad yang berentap dalam pertandingan.

Antara ramalan yang dibuat oleh Paul ialah kemenangan Jerman ke atas pasukan Argentina dan kekalahan Jerman ke atas Serbia.

Sotong itu turut meramalkan kemenangan Jerman ke atas England dan kekalahan Jerman ke atas Sepanyol pada peringkat separuh akhir.

Selepas kemahiran meramalnya itu didedahkan, Paul telah dilantik menjadi duta mewakili England yang cuba menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia pada 2018.

Sotong itu dilahirkan di akuarium Weymouth Sea Life Centre, England pada 2008.

Kebolehan meramalkan itu kemudian menjadi ilham pemilik beberapa haiwan lain yang cuba membuktikan ia setanding dengan Paul.

Antara haiwan lain yang mengikut jejak langkah Paul ialah burung bayan di Singapura dan burung kakak tua Lorenzo di Hannover, Jerman. – Agensi

Sumber

Bajet 2011

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak sedang membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.

Bajet 2011 bertema “Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi” dengan empat strategi utama.

Jumlah bajet – RM212 bilion, 2.8 peratus lebih tinggi daripada Bajet 2010

Perbelanjaan kos operasi – RM162.8 bilion

Perbelanjaan kos pembangunan – RM49.2 bilion

Berikut petikan penting ucapannya:

(1) Rizab negara RM310.8b = 8.5 bulan import tertangguh

(2) Negara telah pulih dari kemelesetan ekonomi dunia dgn pertumbuhan KDNK 9.5% separuh pertama 2010

(3) Defisit dijangka rendah pada 5.4 peratus pada 2011

(4) Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat 18.7 peratus kepada RM1.173 trilion tahun ini berbanding RM988.2 bilion tahun lalu

(5) Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat 18.7 peratus kepada RM1.173 trilion tahun ini berbanding RM988.2 bilion tahun lalu

(6) Sektor perkhidmatan diunjur berkembang 5.3 peratus tahun hadapan dengan pelaksanaan program dan inisiatif di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkaitan perkhidmatan.

(7) Warisan Merdeka – Permodalan Nasional Bhd akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion, yang membabitkan menara 100 tingkat, yang dijadual siap pada 2020

(8) Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh.

(9) Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.

(10) Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.

(11) Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.

(12) Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini boleh melabur sehingga 20 peratus daripada jumlah aset yang diurus berbanding tujuh peratus sebelum ini.

(13) Suruhanjaya sekuriti (SC) akan menawarkan tiga lesen broker saham baharu kepada syarikat tempatan, asing dan usaha sama yang layak untuk meningkatkan penyertaan pasaran runcit.

(14) Duti import kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan di antara 3 dan 5 peratus dimansuhkan bagi menjadikan Malaysia syurga beli belah

(15) Dana Pencen Swasta (PPF) tahun depan untuk memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri

(16) Program Adunan Biobahan Api dengan Petroleum Diesel (Program B5) secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka

(17) Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

(18) RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.

(19) RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatkan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.

(20) Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

(21) RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

(22) Gaji pokok minimum pengawal keselamatan dinaikkan kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan mulai Januari 2011

(23) Penjawat awam wanita diberi pilihan tentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari.

(24) Skim Rumah Pertamaku bantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah

(25) Kerajaan akan menaikkan kadar cukai perkhidmatan daripada 5 peratus kepada 6 peratus

(26) Elaun untuk JKKK, JKKKP dinaikkan kepada RM800 sebulan

(27) RM6.9 bilion pula diperuntuk untuk bina infrastruktur seperti membina jalan luar bandar dan untuk membina jalan luar bandar

(28) RM2.1 bilion diperuntuk untuk bina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak, selain RM696 juta bagi tujuan sama di Semenanjung Malaysia

(29) Sistem Penilaian Takap Kecekapan (PTK) dimansuh dan diganti dengan sistem penilaian lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam.

Sumber

PM: Bajet 2011 Tetapkan Rentak Transformasi Ekonomi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Bajet 2011, yang akan dibentangkan pada 15 Oktober, menetapkan rentak transformasi ekonomi ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Ini akan dicapai melalui empat tonggak agenda transformasi negara, iaitu Konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10), katanya semasa berucap di Perundingan Bajet 2011 di Putrajaya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata bajet kali ini akan mengaktifkan Lima Teras Strategik yang digariskan di dalam RMK10.

“Ini melibatkan mentransformasikan Malaysia menggunakan kaedah Bidang Hasil Utama Nasional (NKRA), meningkatkan pertumbuhan ekonomi, yang merangkumi pembangunan sosio ekonomi, memajukan dan mengekalkan asas bakat dunia pertama serta meningkatkan kualiti kehidupan,” katanya.

Untuk mencapai sasaran pertumbuhan itu, Najib berkata sektor swasta akan menjadi pemacu utama manakala kerajaan memainkan peranan pemudahcara.

“Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan, di dalam semangat 1Malaysia, untuk merangsang ekonomi negara.”

“Masalah semasa tidak dapat diselesaikan menggunakan pendekatan lama. Kita perlukan strategi yang berani, kreatif, inovatif dan kompetitif untuk membawa kita ke paras pembangunan lebih tinggi.

“Kita perlu mengubah cara kita berfikir untuk mendapatkan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah kita. Satu perubahan cara berfikir perlu dilakukan.”

Najib berkata tema Perundingan Bajet tahun ini ialah Bersama Berusaha Mencapai Ekonomi Berpendapatan Tinggi.

“Kita telah berjaya mengharungi krisis ekonomi. kita tidak akan berjaya tanpa keyakinan sektor swasta dan usaha anggota perkhidmatan awam melaksanakan pakej rangsangan serta sokongan rakyat.”

“Marilah kita berusaha lebih gigih dan bersama-sama memacu negara ini ke paras pertumbuhan lebih tinggi dan kemakmuran. Kita telah berjaya melaksanakannya sebelum ini dan saya berkeyakinan kita akan berjaya melakukannya sekali lagi dan dengan hasil yang lebih baik.”

Proses perundingan bajet ini bermula dengan permintaan bagi mendapatkan memorandum dari komuniti perniagaan, NGO, badan profesional, akademia dan kumpulan pemikir untuk mendapatkan pandangan masing-masing.

Najib berkata kementeriannya telah menerima 64 memorandum yang meliputi pelbagai spektrum makro, sektor dan isu sosial yang meluas. – Bernama

Sumber

Proton Inspira Berharga RM79,888

SUBANG – Proton Holdings Bhd. memperkenalkan Sedan baharu empat pintu bersaiz sederhana “Inspira”, dengan harga permulaan pada RM79,888 dan ia bukan model pengganti bagi Waja.

“Waja sedang dihentikan. Ini bukan pengganti,” kata Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir di pelancaran awal edisi terbaharu produk Proton itu di sini.

Beliau berkata, model baharu itu adalah hasil daripada perkongsian jangka panjang Proton dengan Mitsubishi Motors Corporation (MMC).

Kerjasama dengan MMC untuk menghasilkan Inspira membolehkan Proton menjimatkan banyak masa dan dana, katanya.

“Daripada pandangan syarikat ia lebih murah,” katanya sambil menambah kos untuk membangunkan sebuah kereta yang benar-benar baharu ialah kira-kira RM700 juta.

“Ia kerjasama sama-sama menang bagi Proton dan MMC,” katanya.

Tempahan bermula hari ini dengan fi minimum RM1,000.

Mereka yang menempah kereta dari hari ini sehingga 15 November akan mendapat perkhidmatan servis dua tahun percuma atau 50,000km pertama. – Bernama

Sumber

Bayi 10.10.10.10:10:10

SUTTON COLDFIELD, Britain – Seorang ibu melahirkan bayi perempuan pada pukul 10 pagi 10 minit dan 10 saat pada 10 Oktober 2010 di Hospital Good Hope di Sutton Coldfield, Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Ibu itu, Keelie Hearne melahirkan anak perempuannya itu seberat 1.68 kilogram yang diberi nama Niamh Bond.

Sebuah jam digital mencatatkan masa kelahiran bayi itu dengan tepat.

Hearne yang berusia 20 tahun berkata:”Apabila saya merenung ke arah jam dan melihat sepuluh saat, saya berasa terkejut besar.”

Menurutnya, tarikh lahir anaknya dianggap terlalu istimewa kerana kelahiran itu merupakan yang pertama buat dirinya.

“Dia (anaknya) amat kecil dan mempunyai jari-jari yang halus. Dia amat cantik,” katanya.

Bayi itu dilahirkan lapan minggu lebih awal daripada jangkaan asal.

Namun, air ketubannya pecah semasa dia bekerja sebagai pelayan pub menyebabkan dia dihantar ke hospital itu pada malam Sabtu lalu.

Pada pukul 9.40 pagi kelmarin, dia mula menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan anak.

Pasangan hidup Hearne, Dean Bond yang berumur 22 tahun yang masih belajar cara-cara menurap bata di sebuah kolej menganggap kelahiran anaknya itu merupakan hari yang paling bertuah dalam abad ini.

Bond berharap kelahiran anaknya itu akan memberi tuah untuk keluarganya. – Agensi

Sumber

Kemalangan Ngeri 10.10.10

MELAKA , Rembau– Tarikh 10.10.10 yang dinanti-nanti kebanyakan orang ‘meragut’ 12 nyawa manakala lebih 40 orang cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan tujuh buah kenderaan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah semalam.”Bas Delima itu kemudian merempuh sebuah Perodua MyVi, bas JKM dan tiga buah kenderaan lain,”

Takziah kepada semua keluarga mangsa.

Bayi Mati digigit Kera

SEREMBAN – Tindakan seorang datuk meninggalkan cucu perempuannya yang baru berusia empat hari di ruang tamu bersendirian mengundang padah apabila bayi tersebut mati selepas disyaki menjadi mangsa serangan kera jantan liar dalam kejadian di Taman Gembira, Rasah di sini semalam.

Ekoran kejadian pukul 1.15 petang itu, bayi yang masih belum diberi nama tersebut cedera parah di kepala, telinga, leher dan muka akibat digigit haiwan berkenaan.

Mengimbau semula kejadian tersebut, datuk mangsa, A. Valayutham, 70, memberitahu, dia meletakkan cucunya di ruang tamu kerana hendak mengambil minuman di dapur.

Difahamkan, sebelum kejadian, ibu mangsa, V. Revathy, 26, pergi ke bilik air manakala isteri Valayutham sedang memasak.

Menurut Valayutham, selepas beberapa langkah, dia terkejut sebaik mendengar Revathy menjerit apabila mendapati anaknya hilang.

“Saya yang cemas kemudian bergegas mencari bayi tersebut di luar rumah dan saya bagaikan hendak pitam apabila mendapati tubuh kecil cucu saya terbaring di tepi sebatang pokok bunga dalam keadaan berlumuran darah.

“Pada masa yang sama saya juga melihat beberapa ekor kera berlari ke arah belukar yang terletak bersebelahan dengan rumah saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJ) di sini semalam.

Dia kemudian bergegas membawa cucunya ke HTJ sebelum bayi itu disahkan mati akibat kecederaan parah di kepala, muka dan leher.

Sumber