Kabinet tarik Balik Tindakan Senarai Hitam Kesalahan Trafik

Fuhhh…lega aku bila dengar berita malam tadi. Aku rasa ramai jugak yang lega bila dengar berita tu. Kabinet dah tarik balik tindakan senarai hitam kesalahan trafik sehingga 28 Februari tahun depan bagi membolehkan pesalah jalanraya memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu. Keputusan ini melegakan dan menggembirakan ramai rakyat terutamanya syarikat pengangkutan yang kenderaan mereka telah disenarai hitamkan. Bolehlah mereka bayar saman tu sikit-sikit mulai sekarang.

Berikut merupakan petikan dari Berita Harian Online:

PUTRAJAYA: Mendengar rayuan rakyat mengenai bebanan yang ditanggung, terutama bagi menghadapi musim perayaan, Kabinet semalam menarik balik serta-merta tindakan menyenarai hitam pesalah trafik sehingga 28 Februari tahun depan bagi membolehkan mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak akan menghapus kira atau memberi diskaun untuk saman yang belum diselesaikan itu.

Berita Harian sebelum ini melaporkan, sebanyak 10 juta notis saman ekor diabaikan atau tidak dibayar oleh pesalah trafik di seluruh negara sejak 10 tahun lalu dengan lebih sejuta kenderaan disenaraihitamkan daripada memperbaharui cukai jalan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata kerajaan mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai termasuk anggota Kabinet, selain mengambil kira musim perayaan Aidilfitri, Deepavali, Krismas serta Tahun Baru Cina yang disambut dalam tempoh penangguhan itu.

Bagaimanapun, mereka yang menjelaskan saman dalam tempoh penangguhan tidak akan diberikan mata demerit mengikut Sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

Kita nasihatkan mereka yang mempunyai notis kesalahan supaya menjelaskannya secara ansuran atau sekali gus dalam tempoh kelonggaran ini, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya, di sini.

Beliau berkata, perincian mengenai sistem membayar notis kesalahan yang tertunggak dan tempoh lesen memandu dan cukai jalan boleh diperbaharui jika tidak membayar saman tertunggak itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Kong berkata, kerajaan juga akan menambah baik sistem itu dengan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memenuhi pandangan rakyat, selain tidak menggalakkan pegawai penguat kuasa menyorok di belakang pokok bagi menguatkuasa undang-undang.

Katanya, semua lokasi yang dipantau CCTV akan diletakkan papan tanda mengingatkan orang ramai kawasan itu sedang diawasi, sekali gus mendorong mereka memandu secara berhemah.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan mahu meneliti dan membincangkan isu saman ekor dalam masa terdekat dengan mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk beban ditanggung rakyat.

Ditanya mengenai status senarai hitam seseorang pesalah yang mencabar tindakan itu di mahkamah, Kong berkata, sesiapa saja boleh mencabar notis kesalahan di mahkamah, tetapi tindakan menyenarai hitam tetap dikuatkuasa selepas tempoh kelonggaran berakhir.

Akta Pengangkutan Jalan 1987 jelas menggariskan bahawa sesiapa yang memiliki notis kesalahan trafik yang belum dilunaskan, cukai jalan mereka tidak boleh diperbaharui sehingga bayaran dibuat, katanya.

Advertisements

Saman ekor bebankan rakyat, syarikat: Khairy Jamaluddin

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa agar pelaksanaan saman ekor yang hanya membebankan pemilik kenderaan termasuk pengusaha bas serta teksi segera dihapuskan.

Khairy berkata, tindakan yang dilaksanakan kerajaan ini bukan hanya membebankan pengguna kenderaan persendirian, malah pengusaha syarikat teksi dan bas turut menghadapi risiko ‘gulung tikar’ jika sesebuah syarikat itu disenaraihitamkan daripada memperbaharui cukai jalan.

“Kita mahu desak supaya saman ekor dihapuskan sama sekali kerana bertentangan dengan keadilan rakyat. Ia umpama menghukum pemilik kenderaan sebelum didapati bersalah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha bas dan teksi di Pejabat Pemuda Umno di sini hari ini.

Berikutan pendiriannya itu, Khairy sekaligus menolak cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mencadangkan agar pengguna yang dikenakan saman ekor diberi diskaun.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, alasan untuk mendidik disiplin pengguna jalan raya yang diberikan kerajaan itu tidak relevan dan didapati hanya menambahkan lagi beban pengguna.

Sistem tidak telus

“Sistem ini tidak telus. Saman ekor mengikut Seksyen 170 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dilaksanakan ini tidak adil. Jika mahu disiplinkan pengguna penguatkuasaan saman ‘on the spot’ mengikut Seksyen 257 sahaja sudah mencukupi,” katanya.

Beliau juga berkata melalui pertemuan dengan pengusaha terbabit, satu kata sepakat dicapai agar saman ekor dimansuhkan kerana implikasi buruk termasuk permit dan cukai jalan tidak akan diperbaharui jika mereka gagal menjelaskannya.

“Majoriti kes syarikat tersebut bukannya salah syarikat itu, tapi pemandunya. Tiga hingga empat bulan notis saman baru sampai. Berbeza dengan syarikat bas ekspres, pengusaha bas sekolah dan teksi terutamanya tiada perincian rekod, jadi mereka tak tahu pun siapa yang pandu.

“Ini sangat tidak adil kerana mereka bukan sahaja menghadapi saman ekor dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, malah dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga yang ada mengenakan kompaun mencecah sehingga RM1,000.

“Kita juga berharap agar kerajaan ambil keputusan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera terutamanya musim perayaan yang hampir tiba.

Ditanya jika pendirian Khairy terhadap isu saman ekor ini akan mendorong beliau menyertai Perhimpunan Anti Saman Ekor yang diketuai Ahli Parlimen-PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, beliau menolak cadangan tersebut.

“Tak perlu. Pakatan Rakyat boleh buat apa yang mereka mahu. Mencukupi jika hasrat pengusaha bas dan teksi ini dibawa untuk pertimbangan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengusaha Bas Melayu Semenanjung (PEMBAWA) Tajuddin Yunus berkata, kesalahan yang dikenakan kepada pengusaha ini tidak adil kerana mampu menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka.

“Tak adil jika kami terpaksa menanggung bebannya kerana kesalahan yang dilakukan pemandu diketahui hanya selepas tiga bulan apabila surat saman sampai.

“Nak kesan pemandu yang bertanggungjawab semasa waktu kejadian pun susah. Mungkin ada yang sudah lari atau berhenti dalam tempoh tersebut. Jadi dengan kekalutan sebegini sudah tentu tidak ada sesiapa pun yang mahu bertanggungjawab,” katanya.