Animasi Jepun Paling Bahaya untuk Tontonan kanak-kanak

KOTA BAHRU: Filem Animasi Jepun adalah antara DVD yang dikesan paling bahaya untuk ditonton oleh kanak-kanak di negara ini kerana mempunyai unsur negatif yang boleh merosakkan minda.
Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF), Datuk Mohd Hussain Shafie berkata, ramai masyarakat di negara ini tidak mengetahui mengenai bahaya sesetengah cerita filem animasi kerana kurang peka terhadap kandungan DVD dan beranggapan ia hanya sebuah cerita rekaan seperti kartun yang sesuai untuk kanak-kanak.

“Banyak cerita animasi dari Jepun kita haramkan kerana walaupun ia adalah cerita animasi yang dikatakan sesuai untuk golongan kanak-kanak tetapi ia tetap lebih kepada golongan dewasa.

“Ada antara kandungan cerita itu memaparkan animasi wanita dengan pakaian singkat, membuka dada dan beberapa adegan yang tidak elok untuk ditontoni oleh golongan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Bersama Setiausaha Bahagian Kawalan Penapisan Filem Dan Penguatkuasaan Cawangan Kelantan di sini hari ini.

Dialog berkenaan adalah kali pertama diadakan LPF di negeri ini yang turut dihadiri wakil dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan dan menghimpunkan beberapa penerbit, pengedar dan penjual VCD dan DVD di negeri ini.

Tanpa menyebut jumlah animasi yang diharamkan, katanya lebih membimbangkan apabila kebanyakan filem animasi yang dibawa masuk ke negara ini mempunyai beberapa siri atau episod yang panjang.

“Ini menyebabkan pihaknya terpaksa membuat penelitian yang lebih bagi memastikan tiada kandungan yang tidak sesuai dalam setiap episod yang dikeluarkan. “Masalahnya, cerita animasi dari Jepun ini panjang sirinya, berpuluh-puluh episod, kadang-kadang dalam satu atau dua episod kandungannya yang kita tengok semuanya okey, tetapi masuk episod keenam baru ada adegan buka-membuka (baju), ini yang bahaya,” katanya.

Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap penghasilan animasi sebegitu beliau berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan mengharamkan animasi yang terlalu berisiko untuk ditontoni kanak-kanak dan didapati tidak dapat disunting.

“Kalau ada benda yang tak boleh dipotong maka kita akan haramkan kesemua siri atau episod berkenaan dari disiarkan,” katanya.

Mohd Hussain bagaimanapun berkata, sikap segelintir ibu bapa atau penjaga yang terlalu mengambil mudah dan menggantikan kesibukan masa mereka untuk anak-anak dengan membelikannya pemain VCD dan cerita-cerita animasi untuk tontonan, menyebabkan ramai kanak-kanak yang masih terdedah menonton animasi yang boleh merosakkan minda.

“Apa yang terbaik adalah ibu bapa atau penjaga itu sendiri mengawal dan menjaga apa yang ditontoni anak-anak mereka, kalau beli animasi lihatlah dulu kandungan animasi itu sebelum berhasrat untuk membenarkan anak-anak menontonnya,” katanya.

Sumber

Saintis Buktikan Nabi Musa Belah Laut

BOULDER, Amerika Syarikat (AS) – Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. – Agensi

Sumber

Kereta Beckham dilelong RM343,416

LONDON – Sebuah kereta sport yang dikeluarkan untuk legenda bola sepak England, David Beckham dijual pada harga £71,350 (RM343,416) kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta TVR Cerbera itu dibeli pada 2000 semasa beck- ham masih bermain untuk kelab bola sepak Manchester United (MU).

Beckham memiliki kereta itu sehingga 2004 dengan jarak perjalanan kenderaan tersebut 28,484 kilometer.

Pemiliknya selepas Beckham kemudian menyimpannya selama enam tahun dan memandunya sejauh 160.93 kilometer.

Kereta itu dijual pada bulan lalu selepas sebanyak 62 bidaan dibuat. – Agensi

Sumber

Sotong Gergasi Bunuh Manusia

Sotong gergasi dikatakan bukan sahaja memakan ikan dalam jumlah yang banyak malah mula menyerang manusia. Baru-baru ini, dua nelayan di Mexico telah ditarik dari bot mereka dan dikunyah oleh sotong gergasi ini sehingga badan hancur dan tidak dikenali walaupun oleh keluarga mereka sendiri.

Untuk cerita yang lebih lanjut..sila KLIK SINI

Senarai PM Malaysia

Jom kita imbau kembali Perdana Menteri yang pernah menerajui Malaysia. Terima kasih banyak-banyak diucapkan kepada mereka kerana telah banyak berjasa kepada negara dan bangsa. TQ..jasamu dikenang.

5.
Tun Abdullah Ahmad Badawi
Bapa Pembangunan Modal Insan
20032009
UMNO
6.
Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak
Bapa Transformasi
2009–kini
UMNO

Korang boleh klik kat nama mereka untuk tahu secara terperinci tentang mereka. Link tu terus kepada Wikipedia.

Sejarah Perjuangan Tok Janggut

Sempena Hari Kemerdekaan yang bakal kita sambut esok..aku nak kongsikan ngan korang tentang sejarah salah seorang pejuang tanah air kita iaitu Tok Janggut.

INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan. Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.

Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.

Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.

Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.

Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.

Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.

Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.

Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.

Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.

Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.

Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.

Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.

Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.

Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.

Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.

Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.

Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.

Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.

Sumber

Sedar Peluru di kepala Lepas 5 Tahun

Seorang lelaki di Jerman yang ditembak di belakang kepalanya lima tahun lalu hanya menyedari kecederaan pada dirinya selepas lima tahun kemudian.

Lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai ditembak dengan sebutir peluru jenis .22 kaliber di bandar ini.

Ketika kejadian, dia sedang berparti dan minum minuman keras sempena sambutan tahun baru di kaki lima sebatang jalan.

Lelaki itu menyatakan, dia berasa kepalanya seperti dipukul tetapi dia tidak mendapatkan bantuan perubatan ketika itu.

Polis memberitahu, mangsa hanya pergi mendapatkan rawatan doktor baru-baru ini apabila dia merasa sakit dan terdapat ketulan di belakang kepalanya.

Gambar X-ray menunjukkan terdapat satu objek berada di bawah kulit kepalanya dan objek tersebut dikeluarkan selepas satu pembedahan.

Menurut polis, peluru itu mungkin berpunca daripada sebutir peluru sesat yang dilepaskan ke udara sewaktu sambutan tahun baru berkenaan. – AP

Sumber