Pertandingan Ayam Serama Tarik Pelancong

KOTA BHARU – Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan akan menjadikan pertandingan ayam serama atau ayam katek sebagai produk baru pelancongan bagi menarik pelancong luar negara, khasnya negara jiran ASEAN ke negeri ini.

Pengurusnya, Ahmad Shukeri Ismail berkata, ia juga akan dijadikan acara tahunan selain pertandingan wau atau layang-layang peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pertandingan ayam serama peringkat negara Asean itu akan diadakan pertama kali di tapak kekal Taman Orkid Tengku Anis, di Jalan Padang Tembak di sini pada 23 Oktober ini.

“Pada peringkat permulaan ini seramai 400 peserta memberi persetujuan menyertai pertandingan kecantikan ayam serama itu yang akan dikendalikan Persatuan Peminat Ayat Serama Kelantan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, antara negara ASEAN terbabit ialah Thailand, Singapura dan Indonesia selain peminat ayam serama dari Pantai Barat Semenanjung, khasnya Kuala Lumpur.

Katanya, pada pertandingan itu, peserta tempatan dan luar negara berpeluang didedahkan dengan maklumat mengenai keunikan haiwan itu serta teknik pemeliharaan agar boleh dijadikan industri penjanaan ekonomi jika dikomersialkan. – Bernama

Sumber

Kepada penggemar ayam serama, hadiah yang dijanjikan dalam pertandingan ini ialah

Pertama:RM400.00
Naib Johan:RM300.00
Ketiga:RM200.00
Keempat:RM150.00
Kelima:100.00

Saguhati 30% dari penyertaan Tilam Jaya.

Cabutan Bertuah: RM500.00 untuk 2orang yang bertuah
RM100.00 untuk 5orang yang bertuah
RM50.00 untuk 20orang yang bertuah
Narita untuk 20orang yang bertuah
MEGA BONAZA RM1000.00 UNTUK 2 ORANG YANG PALING BERTUAH

Hukum Pertandingan Ayam Serama

Dalam keseronokan dan kegembiraan kita menyertai pertandingan ayam serama, ada beberapa persoalan yang kita perlu teliti iaitu hadiah kepada pemenang diambil dari sumber mana? Wang penyertaan atau sumbangan/tajaan dari individu atau agensi? Ini kerana sumber hadiah menentukan halal haram pertandingan tersebut.

Hadiah pertandingan hasil kutipan yuran penyertaan hukumnya adalah haram kerana ia menyerupai pertaruhan. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian. Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM50, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu penganjur membeli hadiah untuk diberikan kepada pemenang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: “Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman”. (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).

Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya). Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.

Walaubagaimanapun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak. Hadiah kepada pemenang yang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.

Oleh itu, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:

1. Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).

2. Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya: “Kalau ayam kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Tapi kalau kamu kalah, tidak perlu beri apa-apa hadiah kepadaku.” Maksudnya dia menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan.

Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:

1. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.

2. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi dan sebagainya.

3. Tidak melalaikan dari kewajipan syarak seperti solat dan sebagainya.

4. Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.