Dahulu Paul, Sekarang Jesicca

LONDON – Seorang ketua balai bomba di Britain mengejutkan kakitangannya apabila dia kembali sebagai seorang wanita selepas bercuti, lapor sebuah akhbar semalam.

Paul Canning, 45, kembali daripada percutian lima minggu dengan memakai mekap dan rambut palsu seterusnya memberitahu:” Mulai hari ini, panggil saya Jessica,”.

Kakitangan balai bomba di sini dipanggil dalam satu mesyuarat oleh pihak atasan bagi memaklumkan mengenai perubahan jantina ketua mereka baru-baru ini.

Para petugas diberi peringatan bahawa mereka boleh dikenakan tindakan disiplin jika tidak merujuk ketua mereka dengan menggunakan ganti nama wanita ‘she’ atau ‘cik’.

Rakan-rakannya berkata, Paul mahu menjalani pembedahan pertukaran jantina sepenuhnya tetapi dia perlu hidup sebagai seorang wanita selama 18 bulan sebelum dibenarkan berbuat demikian menurut undang-undang Britain.

Difahamkan, ketua balai bomba itu pernah berkahwin dengan mempunyai seorang anak. – Agensi

Telur Ayam Bulat Macam Bola

CORNWALL – Seorang chef masakan berusia 27 tahun, James Church terkejut apabila dia terjumpa sebiji telur ayam unik yang berbentuk bulat seperti bola ketika sibuk memasak di Hotel Bristol di Newquay, Cornwall baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

“Saya sedang bekerja pada waktu pagi dengan memecahkan telur dan membuat sarapan seperti biasa. Saya kemudian mengeluarkan satu bekas dan kemudian terlihat telur ini,” kata Church yang menceritakan penemuan unik itu.

Menurutnya, dia berasa tergamam seketika sebelum memanggil semua orang yang berada di dapur untuk melihatnya.

Dia berkata, mereka turut kagum kerana tidak pernah melihat telur unik itu.

Church yang bekerja selama lapan tahun sebagai tukang masak membuat keputusan untuk menyimpan telur unik itu. – Agensi

Sumber

Remaja Nepal Jadi Lelaki Paling Pendek

POKHARA, Nepal – Seorang remaja Nepal, Khagendra Thapa Magar diisytiharkan sebagai lelaki paling pendek di dunia oleh seorang pegawai Guinness Book of World Records, Marco Frigatti semalam.

Magar yang setinggi 67 sentimeter (sm) dan berat 5.5 kilogram (kg) mengambil alih gelaran itu daripada Edward Nino Hernandez dari Colombia yang setinggi 70sm.

Dia diumumkan sebagai lelaki paling pendek di dunia selepas umurnya genap 18 tahun sekali gus menepati syarat Guinness Book of World Records yang hanya menyenaraikan individu berumur 18 tahun ke atas sebagai pemegang rekod dunia.

Majlis pengisytiharan itu diadakan di sebuah hotel di Pokhara barat Kathmandu, Nepal.

Semasa dilahirkan, beratnya cuma 600 gram.

Pada tahun depan, dia menjadi duta muhibah yang dilantik pemerintah sempena Tahun Melawat Nepal.

“Saya sangat gembira dan teruja,” kata Magar yang merupakan anak seorang penjual buah-buahan.

Dia mempunyai adik lelaki berusia 13 tahun yang mempunyai ketinggian normal.

Doktor-doktor tempatan gagal menjelaskan punca yang menyebabkan tubuh Magar tidak membesar.

Dr. Hum Prasad Newpane yang menjadi doktor Magar sejak lima tahun lalu berkata, struktur tubuh remaja itu seperti budak tiga tahun dan dia berfikir serta berkelakuan seperti kanak-kanak. – AP

Sumber

10 Kanta Lekap yang Aneh

Anak Biri-biri Berkaki Dua

Anak biri-biri berkaki dua telah dilahirkan di wilayah Shandong, China. Anak biri-biri ini milik seorang petani. Ia mampu berdiri menggunakan hanya dua kaki tersebut. Namun begitu, menurut pakar, ia akan menghadapi masalah apabila dewasa di mana beratnya bertambah. Kemungkinan ia tidak dapat berdiri lagi.

Si dara berumur 107 tahun

CORNWALL – Seorang anak dara berusia 107 tahun, Clara Meadmore mengakui dia tidak pernah melakukan hubungan seks, lapor sebuah akhbar semalam.

Perawan warga emas itu meraikan hari jadinya yang ke-107 pada Ahad lepas.

Ditanya bagaimana dia mengekalkan daranya sejak sekian lama, wanita itu menyatakan, dia terlalu sibuk dan percaya seks cuma mengganggu kehidupannya.

Menurut Clara yang berasal dari sini, England, semasa usianya remaja pada tahun 1920-an dan 1930-an, seks adalah untuk wanita yang telah berkahwin.

Dia tidak berhasrat untuk berumah tangga dan pernah menolak beberapa lamaran sebelum ini.

“Orang pernah bertanya sama ada saya homoseks dan jawapannya adalah tidak,” kata Clara.

“Saya mempunyai ramai kenalan lelaki tetapi tidak berminat dengan seks atau perkahwinan,” tambahnya. – Agensi

Sumber

Pramugari Menari Ala Lady Gaga Dalam Pesawat

MANILA – Beberapa pramugari dalam sebuah pesawat penerbangan Cebu Pacific Airlines menari ala penyanyi terkenal, Lady Gaga semasa membuat demonstrasi memakai jaket keselamatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Pramugari-pramugari itu yang memakai baju T ketat menari mengikut irama muzik Just Dance dengan wajah yang tersenyum.

Gerakan lincah dan lembut pramugari itu menyebabkan ramai penumpang melihat demonstrasi keselamatan tersebut.

Pramugari-pramugari itu turut menari mengikut irama lagu California Gurls yang dipopularkan juga oleh Katy Perry.

Kedua-dua muzik itu mempunyai suara latar yang memberitahu penumpang apa yang perlu dilakukan oleh penumpang semasa pesawat membuat pendaratan cemas.

Naib Presiden Pemasaran Cebu Pacific Airlines, Candice Iyog memberitahu stesen televisyen GMANewsTV: “Cebu Pacific selalu dikenali sebagai sebuah pesawat yang menyeronokkan. Kami mahu memberitahu mesej kepada pelanggan kami bahawa demonstrasi keselamatan bukannya membosankan.”

Pramugari itu mendapat latihan daripada seorang pereka tari profesional.

Seorang penumpang telah merakamkan aksi pramugari itu menerusi telefon bimbit dan menghantar ke YouTube untuk disiarkan. – Agensi

Sumber

Badak Air Berwarna Merah Jambu

MASAI MARA, Kenya – Seekor badak air jantan yang berwarna merah jambu ditemui di sini pada minggu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dua jurugambar hidupan liar, Will dan Matt Burrard-Lucas dari Britain telah merakamkan gambar badak air itu setelah mendengar berita mengenai haiwan tersebut.

“Haiwan itu keluar ke daratan selama kira-kira 10 minit atau kurang daripada itu. Selepas itu, kami mengesan kepala haiwan itu yang berwarna merah jambu berada di atas permukaan air setiap beberapa minit semasa ia mahu menyedut udara.

“Ia juga amat malu dan selepas mengesan kehadiran kami, haiwan itu bersembunyi di belakang ibunya sebelum hilang ke dalam air,” kata Will. – Agensi

Sumber

Ibu-ibu Paling Ganjil di Dunia

Ibu yang melahirkan paling ramai anak kembar hidup (8 bayi). Nadya Denise Doud-Suleman Gutierrez (US).

Lina Medina dari Peru menjadi ibu paling muda dalam sejarah apabila melahirkan bayi ketika berumur 5 tahun 7 bulan.

Selepas menunggu selama 40 tahun untuk mendapatkan anak, akhirnya Rajo Devi Lohan dari India melahirkan anak sulungnya pada November 2008, ketika berumur 70 tahun. Ini menjadikan dia sebagai ibu paling tua yang melahirkan anak sulung.

Shuya dari Russia direkodkan dalam Guinness Book of Records, sebagai ibu yang melahirkan paling ramai anak dalam sejarah apabila melahirkan seramai 69 orang anak dengan mengandung sebanyak 27 kali.

Thomas Beatie diiktiraf sebagai ‘ibu’ lelaki pertama di dunia. Dia dilahirkan sebagai perempuan tetapi melakukan pembedahan menukar jantina. Isterinya Nancy tidak dapat mengandung atas sebab kesihatan jadi Thomas telah bersetuju untuk melahirkan anak mereka dengan menggunakan sperma penderma.

Inilah ibu yang terkecil di dunia. Stacey Herald, 36 daripada Kentucky USA. Tingginya hanya 2 kaki 4 inci. Sekarang ni dah ada 3 orang anak pun.

Kembar Siam Dalam Perut

Perut Sanju Bhagat’s dari Nagpur, India kelihatan seolah-olah dia mengandung 9 bulan. Namun, pada Jun 2009, perutnya semakin besar dan terpaksa dibedah kerana dijangka mempunyai ketumbuhan. Tetapi ketika membedah Sanju, doktor menemui sesuatu yang pelik iaitu anggota badan manusia seperti kaki, tangan, rambut dan beberapa anggota lain.

Sanju kelihatan seolah-olah telah melahirkan anak, namun menurut doktor, keadaan ini amat jarang berlaku iaitu anggota tersebut merupakan kembar Sanju. Keadaan ini dipanggil fetus dalam fetus. Ia berlaku apabila fetus terperangkap dalam kembarnya.